KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan lelaki warganegara Myanmar yang ditemukan mati dengan kesan tetakan pada leher dan dada di kawasan kebun di belakang sebuah ladang kelapa sawit di Gua Musang pada minggu lalu dibunuh akibat cemburu.
Perasaan itu dipercayai timbul selepas mangsa memeluk wanita berkenaan yang merupakan isteri kepada rakannya.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, susulan itu pihaknya telah menahan tiga lelaki termasuk suami kepada wanita berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kita turut menahan wanita berkenaan bersama suami dan dua lagi rakannya di sebuah rumah kongsi di Ulu Galas pada pukul 7.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan semua kepada wanita berkenaan mengaku telah membunuh rakanya itu akibat perasaan cemburu,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Katanya, selain itu turut dirampas enam unit telefon, sehelai baju dan seluar.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditemukan mati dengan kesan tetakan pada leher dan dada di kawasan kebun di belakang sebuah ladang kelapa sawit di Gua Musang.
Mayat mangsa berusia lingkungan 30-an itu ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan tetakan menggunakan senjata tajam pada leher dan bahagian dadanya.-UTUSAN