SEREMBAN: Pasukan Majlis Sukan Sekolah (MSS) Kedah muncul juara keseluruhan kejohanan ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 yang berlangsung di sini sejak 12 September.
Dalam perlawanan akhir bawah 18 tahun yang berlangsung di Padang Institut Pendidikan Guru (IPG) Raja Melewar, Sikamat di sini, Kedah menumpaskan tuan rumah, MSS Negeri Sembilan dengan keputusan 22-17.
Ketua jurulatih pasukan MSS Kedah, Mohd. Zain Morad, 50, berkata, kemenangan tersebut adalah hasil persiapan rapi dan perancangan jangka panjang sejak empat tahun lalu.
“Syukur Alhamdulillah, selepas 20 tahun saya mengendalikan pasukan ini, akhirnya kejayaan pertama dapat kami capai. Perasaan ini memang gembira tidak terhingga.
“Pelan pembangunan pasukan telah digerakkan sejak 2020 lagi dengan sasaran jelas untuk meraih kemenangan menjelang 2025. Syukur sasaran itu akhirnya tercapai,” katanya ketika ditemui hari ini.
MSS Kedah mara ke final selepas menumpaskan MSS Selangor dengan keputusan 27-15 pada separuh akhir semalam.
Dalam pada itu, kategori bawah 12 tahun turut menyaksikan Kedah merangkul juara selepas menumpaskan MSS Selangor dengan keputusan 30-29.
Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Amirul Awang, 34, berkata, kejayaan tersebut adalah hasil disiplin tinggi dan semangat juang pemain yang mengikut segala perancangan latihan sejak dua bulan lalu.
“Semua pemain menunjukkan usaha yang sungguh luar biasa. Selama hampir dua bulan menjalani latihan, mereka ikut sepenuhnya apa yang telah dirancangkan,” katanya.-UTUSAN.







