GUA MUSANG: Seorang buruh ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memiliki sebilah pedang, dua laras senapang patah, sepucuk pistol buatan sendiri dan 21 butir peluru di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit di sini, kira-kira dua minggu lalu.
Mohamad Amirul Airie Mohamad, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri. Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki sebilah pedang tanpa maksud sah di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit KPF Plantation Sdn. Bhd. di sini kira-kira pukul 4 petang pada 10 September lalu.
Mohamad Amirul didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh memiliki 21 butir peluru tanpa lesen sah pada masa dan lokasi sama di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga, Mohamad Amirul didakwa memiliki dua laras senapang dan sepucuk pistol yang merupakan senjata tiruan pada masa dan lokasi sama. Buruh ladang itu dituduh mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan selain menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh tidak membayar ikat jamin tersebut. – UTUSAN










