IPOH: Satu bungkusan berisi mayat manusia ditemukan di kawasan sungai berhampiran Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Kerawat, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat berkaitan penemuan itu diterima susulan laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 28 tahun.
“Siasatan awal di lokasi kejadian bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengesahkan terdapat satu bungkusan tersangkut pada batang pokok di tepi sungai.
“Pemeriksaan lanjut mengesyaki bungkusan tersebut berisi mayat manusia namun identiti si mati masih belum dikenal pasti,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, bungkusan tersebut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sama ada terdapat sebarang unsur jenayah.
Katanya, kertas siasatan bagi penemuan itu setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan hasil bedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Simpang Pulai, Inspektor Tai Zhe Jin di talian 019-5448601,” katanya. – UTUSAN