KUALA TERENGGANU: Semua stesen minyak di Terengganu dilihat bersedia sepenuhnya melaksanakan penggunaan sistem subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif Budi Madani (BUDI95) apabila tiada sebarang aduan diterima daripada orang ramai sejak ia mula dinikmati semua golongan hari ini.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, semua sistem pengesahan MyKad yang diwajibkan sebelum mengisi minyak juga berfungsi dengan baik.
Ujarnya, terdapat sesetengah pengguna masih keliru dengan penggunaan BUDI95, namun kakitangan di setiap stesen minyak dilatih membantu memberi penerangan kepada pengguna.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna. Semua stesen minyak di negeri ini juga dilihat telah melakukan persiapan awal dan proses pengisian berjalan dengan lancar.
“KPDN bersama pihak stesen minyak juga telah menempatkan kakitangan bagi memberi penerangan secara terus kepada pengguna. Setakat ini, rakyat memberi maklum balas positif terhadap pelaksanaan ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Petron Kubang Ikan, Chendering, di sini hari ini. – UTUSAN










