PETALING JAYA: Inisiatif penyasaran subsidi petrol di bawah Program Budi Madani RON95 (Budi95) memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 120,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar mewakili seluruh warga ATM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman inisiatif Budi95 hari ini.
“Langkah ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 120,000 warga ATM, sekali gus meringankan beban kos sara hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Markas Angkatan Tentera hari ini.
Menurut kenyataan itu, melalui inisiatif Budi95, warga ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula menikmati manfaat tersebut lebih awal bermula 27 September iaitu tiga hari sebelum tarikh rasmi pelaksanaan penyasaran subsidi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Pengumuman oleh Perdana Menteri yang memberikan akses lebih awal kepada warga ATM mencerminkan keprihatinan Kerajaan Malaysia dalam menjaga kebajikan dan moral pasukan keselamatan negara yang sentiasa berkorban demi kedaulatan tanah air.
“ATM amat menghargai keprihatinan dan sokongan padu Kerajaan Malaysia terhadap kebajikan warganya dan akan terus komited dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya.
Di bawah program Budi95, warga ATM bersama seluruh rakyat Malaysia layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, berbanding harga semasa RM2.05 seliter, dengan had kelayakan sebanyak 300 liter sebulan.-UTUSAN










