Bomba Pulau Pinang siap siaga hadapi MTL

Bomba Pulau Pinang sudah bersedia hadapi musim monsun

MOHAMAD Shoki Hamzah (kiri) bersama Chow Kon Yeow (tengah) melihat beberapa aset bomba yang dipamerkan sempena majlis perasmian video untuk program 'Hotel Guest Fire Safety Awareness' oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sebuah hotel di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang kini berada bersedia pada tahap tinggi menjelang fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada bila-bila masa sehingga bulan depan.

Pengarahnya, Mohamad Shoki Hamzah berkata, untuk itu, seramai 800 anggota dan pegawai bomba akan ditugaskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku khususnya yang melibatkan bencana seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya sepanjang tempoh berkenaan.

“Apabila musim itu (MTL) bermula, kita tahu bahawa ia sering membawa bersama risiko hujan lebat berterusan yang boleh menyebabkan banjir besar dan lain-lain bencana.

“Tahun lepas, kita (di Pulau Pinang) bernasib baik kerana negeri ini tidak mengalami banjir besar. Jadi, kita harap perkara yang sama pada tahun ini.

“Apapun, kita juga sentiasa bersedia andai kejadian banjir kilat terus-menerus berlaku akibat hujan lebat,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian video untuk program ‘Hotel Guest Fire Safety Awareness’ oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sebuah hotel, di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad Shoki memberitahu, ketika ini, pihaknya telah menjadikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mak Mandin sebagai pusat kecemerlangan aktiviti air bagi memperkukuh keupayaan logistik dengan penyediaan bot, unit utiliti serta latihan khas kepada anggota untuk tujuan itu.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 256 lokasi ‘hotspot’ banjir di seluruh Pulau Pinang telah dikenal pasti buat masa ini.

Katanya, daerah Seberang Perai Tengah (SPT) merekodkan jumlah lokasi tertinggi iaitu sebanyak 88 lokasi, diikuti oleh daerah Seberang Perai Utara (SPU) (66 lokasi) dan Seberang Perai Selatan (SPS) dengan 20 lokasi.

“Dua lagi daerah iaitu Timur Laut dan Barat Daya pula masing-masing dikenal pasti mempunyai 41 lokasi ‘hotspot’ atau kawasan yang berpotensi untuk dinaiki air ketika banjir,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Shoki memberi amaran kepada penduduk dan pelancong supaya mengelak daripada mengunjungi kawasan rekreasi air yang berisiko tinggi khususnya ketika musim peralihan MTL ini.

“Kita bimbang kejadian tidak diingini seperti ‘kepala air’ yang pernah terjadi di beberapa negeri sebelum ini dan sebagainya berlaku pula di sini (Pulau Pinang),” jelas beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN