Boleh mewarna rambut asalkan air meresap
SOALAN
Saya ada kemusykilan mengenai larangan mengubah ketentuan Allah. Soalan saya, adakah mewarna atau menanam rambut diharamkan?
Fendi
Bruas
JAWAPAN
Pengharaman itu adalah mengubah ciptaan dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan fitrah. Adapun yang setakat warna ia tidak mengubah ciptaan Allah selagi pewarna itu bersih, tidak menghalang air meresap dan warna yang tidak bercanggah dengan budaya yang baik.
Mualaf baca surah dalam solat ikut kemampuan
SOALAN
Sebagai mualaf, bagaimana saya hendak sembahyang sebab saya belum mahir membaca al-Quran?
Tony Wong
Kota Kinabalu
JAWAPAN
Orang yang baru masuk Islam, dia boleh menunaikan solat berdasarkan kemampuan nya seperti membaca surah yang mudah seperti al-Ikhlas atau berzikir sekadar bacaan al-Fatihah. Apabila dia sudah mampu membaca al-Fatihah maka wajib dia membaca al-Fatihah.
Tukar agama Islam tidak perlu tukar nama asal
SOALAN
Saya diberitahu mereka yang masuk Islam tidak diwajibkan menukar nama. Tetapi nama itu ada kaitan dengan agama asal dan ingin menukarnya. Apa pandangan ustaz?
Kevin
Mualaf
JAWAPAN
Tidak wajib menukar nama selagi mana nama tersebut maknanya baik. Jika nama yang membawa maksud yang tidak elok maka eloklah dia menukar nama tersebut.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar e-mel kepada [email protected]