Nama pelakon Pablo Amirul mungkin tidak asing lagi buat pencinta filem aksi tempatan. Namun, bagi pelakon berusia 40 tahun itu, kenangan paling berharga dalam kerjayanya ialah ketika diberi peluang membawakan watak Jimbo dalam filem pecah panggung Polis Evo pada tahun 2015.
Watak Jimbo mungkin kelihatan mudah kerana tidak mempunyai sebarang dialog, namun impaknya jauh lebih besar daripada yang dijangkakan. Lakonan penuh ekspresi itu menjadi salah satu aksi yang terus segar dalam ingatan peminat filem tempatan hingga ke hari ini.
Menurut Pablo, kejayaan besar watak tersebut tidak akan mungkin tercapai tanpa sokongan barisan pelakon dan tenaga produksi yang bekerja keras di sebalik tabir. Bagi dirinya, filem itu adalah bukti bahawa sesebuah karya hanya akan berjaya apabila semua pihak berganding bahu.
“Saya perlu beri kredit penuh kepada Shaheizy Sam yang banyak membantu saya ketika itu. Selain itu, idea daripada Abang Ghaz juga sangat membantu saya kerana dia mencadangkan supaya saya cuba sesuatu yang berbeza iaitu watak antagonis tanpa sebarang dialog,” katanya mengimbau kenangan itu.
Bagi Pablo, cadangan tersebut pada awalnya agak mengejutkan. Namun selepas difikirkan semula, dia menyedari bahawa kekuatan lakonan bukan semata-mata terletak pada kata-kata. Ekspresi wajah dan aksi fizikal juga mampu bercerita dengan lebih mendalam.
“Saya terfikir, kenapa perlu dialog kalau ekspresi dan aksi sudah cukup kuat untuk bercerita? Akhirnya saya cuba pendekatan itu, dan ternyata ia berhasil dengan cukup baik,” ujarnya dalam temu bual.
Sebelum Polis Evo, Pablo hanya dikenali sebagai pelakon sampingan. Kebanyakan watak yang diberikan kepadanya pula hanyalah sekadar penjahat kecil tanpa sebarang keistimewaan. Namun, filem tersebut menjadi titik perubahan besar dalam perjalanan seninya.
“Daripada pelakon yang orang kata sekadar ‘penjahat tak berdialog’, saya tiba-tiba mendapat perhatian besar daripada penonton. Kutipan filem pula mencecah RM20 juta, sesuatu yang pada waktu itu belum pernah dicapai. Itulah momen pencetus, bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk industri keseluruhan.
“Orang selalu fikir hero sahaja yang boleh jadi kegemaran tetapi Polis Evo buktikan sebaliknya. Watak jahat juga boleh beri kesan mendalam, asalkan dibawa dengan jiwa dan penghayatan yang tepat,” jelasnya.
SOKONGAN MASIH LEMAH
Namun begitu, Pablo tidak menafikan cabaran yang masih membelenggu industri. Antara yang paling ketara ialah sokongan penonton yang dilihat tidak konsisten.
“Industri filem kita bagus, kualiti pun semakin meningkat tetapi masalahnya, kita kekurangan penonton yang benar-benar menyokong secara konsisten. Kalau filem bagus, orang datang. Kalau ada kelemahan sikit, terus dicemuh. Itu yang sukar,” tambahnya.
“Sepatutnya kita ada penonton yang tetap beri sokongan. Bagus atau tidak, itu soal lain tetapi usaha yang dicurahkan sangat besar. Setiap filem melibatkan masa berbulan-bulan, malah bertahun untuk direalisasikan. Jadi seharusnya kita lebih menghargai,” katanya lagi.
“Saya sangat hormat orang-orang yang membuat filem. Bagus atau tidak, itu soal kedua. Tapi usaha, keberanian dan pengorbanan mereka memang luar biasa. Kalau berjaya, kita bersyukur. Kalau tidak, cuba lagi. Itulah semangat sebenar anak seni,” jelasnya.
UBAH PERSPEKTIF
Kini selepas 10 tahun bergelumang dalam dunia lakonan, Pablo melihat industri perfileman dari sudut yang berbeza. Dia tidak lagi sekadar memandang filem sebagai penonton, tetapi sebagai sebahagian daripada pasukan yang membangunkannya.
“Dulu saya hanya penonton. Sekarang saya sebahagian daripada industri. Saya nampak betapa luasnya dunia ini. “Untuk hasilkan filem hebat, kita perlukan skrip yang betul, pengarah yang betul, dan pasukan yang betul. Bila semua padu, barulah hasilnya luar biasa.
“Ramai kata kalau bawa watak villain, akan dibenci. Tapi saya jadikan kebencian itu sebagai kekuatan untuk mencipta kesukaan. Kalau orang masih ingat dan marah pada watak saya, itu tandanya lakonan saya berjaya,” ujarnya lagi.-utusan