KUALA TERENGGANU: Perbezaan usia hampir tiga dekad bukan penghalang buat Mohd. Hafizey Mat Nasir, 36, untuk menyunting Mas Ibrahim, 65, sebagai suri hatinya.
Lebih manis, pasangan yang kedua-duanya orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan selamat diijabkabulkan lima hari lalu selepas enam bulan berkenalan.
Mohd. Hafizey berkata, bibit cinta mula berputik tiga tahun lalu apabila kerap mendengar suara Mas membuat ucapan melalui siaran radio.
“Hati saya tertarik setiap kali mendengar suaranya berkumandang. Bermula dari situ saya cuba dapatkan nombor telefonnya selama tiga tahun dan akhirnya seorang rakan membantu saya berkenalan dengannya.
“Beza umur kami 29 tahun, ia bukan penghalang untuk kami mendirikan rumah tangga walaupun pada mulanya ada keraguan daripada keluarga,” katanya ketika ditemui.
Mohd. Hafizey yang kehilangan penglihatan tujuh tahun lalu akibat penyakit kencing manis berkata, ini adalah perkahwinan ketiganya.
“Saya pernah berkahwin dua kali. Perkahwinan pertama dikurniakan seorang anak tetapi meninggal dunia lima tahun lalu akibat kanser. Perkahwinan kedua pula berakhir pada 2018 tanpa cahaya mata.
“Saya percaya jodoh adalah ketentuan Allah SWT dan saya tidak mempedulikan kata-kata orang. Sekarang saya sedang belajar urutan refleksologi dan bercadang menjadikannya punca rezeki untuk menyara kami,” ujarnya.
Sementara itu, Mas berkata, dia menerima ketentuan jodoh itu dengan hati terbuka walaupun pada awalnya berasa sedikit malu kerana usia suaminya jauh lebih muda.
Beliau bersyukur kerana perkenalan singkat akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin. – UTUSAN










