KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan berkerjasama dengan bekas musuh politik sekiranya langkah itu mampu memberi nilai tambah kepada parti dan Perikatan Nasional (PN) dalam menjamin kestabilan politik negara.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala bentuk kerjasama boleh dipertimbangkan asalkan berlandaskan prinsip, kejujuran dan matlamat membawa kebaikan kepada rakyat.
“Dalam politik, apa sahaja mungkin berlaku. Tidak ada yang kekal. Asalkan kerjasama itu memberi manfaat kepada rakyat dan negara, saya terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja termasuk tokoh seperti Datuk Seri Rafizi Ramli atau mana-mana pemimpin lain.
“Soal nama tidak penting. Yang penting ialah kesediaan untuk bekerjasama secara jujur dan berprinsip. Jika ada ruang persefahaman yang memberi manfaat bersama, kita tidak menolak,” katanya kepada Utusan Malaysia, ketika ditanya mengenai kesediaan Bersatu bekerjasama dengan pihak yang sebelum ini pernah berseteru termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Rafizi serta beberapa pemimpin lain.
Sebelum ini, Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan daripada barisan Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kekalahan mereka dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Tindakan itu sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai wujudnya perpecahan dalaman parti berkenaan, meskipun kedua-dua tokoh masih kekal dalam PKR.
Muhyiddin berkata, landskap politik negara sentiasa berubah dan tidak mustahil bekas seteru akhirnya memilih haluan baharu.
“Kalau ada yang berminat dan bersedia, sebagai orang politik, tiada halangan untuk berbincang. Kalau setakat berjumpa, bincang dulu. Kalau ada terbuka hati, Allah bukakan taufik dan hidayah untuk pandu kita cari jalan terbaik demi umat,” katanya.-UTUSAN










