PERALIHAN kuasa dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) terus menjadi perbincangan hangat apabila wujud desakan sebahagian besar Ketua Bahagian agar Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepimpinan kepada Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Meskipun Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru sahaja berakhir pada minggu lalu, isu panas masih terus dibincangkan sehingga hari ini berhubung Akuan Bersumpah (SD) ditandatangani 120 Ketua Bahagian.
Pada ketika ini, satu demi satu Ketua Bahagian Bersatu mengeluarkan kenyataan menggesa peralihan kuasa perlu dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Isunya adalah, mampukah Perikatan Nasional (PN) menjadi pilihan rakyat dengan meletakkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11?
Bercakap daripada segi pengalaman, Muhyiddin merupakan antara pengasas Bersatu, bekas Perdana Menteri dan tokoh penting dalam pembentukan PN serta dihormati sebagai negarawan berpengalaman, manakala Hamzah dianggap lebih berstrategik dalam mengemudi jentera parti.
Namun, terdapat pandangan bahawa Muhyiddin kini mewakili imej lama yang mungkin kurang berdaya tarik kepada pengundi muda dan neutral.
Malah melihat kepada kombinasi kedua-dua pimpinan tersebut, ia saling memerlukan dimana Muhyiddin membawa kestabilan manakala Hamzah menawarkan imej baharu.
Situasi ini membuka dua senario sama ada mengekalkan Muhyiddin demi kestabilan jangka pendek atau memberi ruang kepada Hamzah sebagai wajah baharu pilihan raya.
Namun apa yang jelas, PAT sepatutnya menjadi platform penyatuan dalam sebuah keluarga besar.
Hanya satu penyelesaian terbaik, selagi Muhyiddin tidak membuat keputusan sendiri selagi itulah ada pihak terus memainkan peranannya dan berpotensi menjadi pemusnah karier Presiden Bersatu sendiri yang akhirnya turut melemahkan PN.-UTUSAN










