PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan diadakan tahun depan.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada jangkaan tersebut termasuk kegagalan kerajaan menangani isu-isu utama rakyat.
Beliau berkata, keadaan itu amat mendesak untuk kerajaan hari ini memperoleh semula mandat baharu bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara.
“Dalam perbincangan kita, banyak faktor yang menyumbang kepada andaian bahawa Kerajaan Madani pada hari ini memerlukan mandat baharu memandangkan banyak kegagalan yang telah kita saksikan.
“Pertama, kegagalan menguruskan isu-isu ekonomi termasuk kos sara hidup rakyat yang semakin membebankan. Begitu juga isu-isu yang banyak diperkatakan pada hari ini seperti Akta Pembaharuan Bandar dan kes-kes buli,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kelapan 2025 di sini, hari ini.
Mohamed Azmin berkata, PAT kali ini menjadi medan penting untuk Bersatu menyemak dan menilai prestasi di lapangan, meningkatkan latihan jentera di semua peringkat dan mewujudkan kerjasama strategik dengan anggota Perikatan Nasional (PN).
“Hala tuju menghadapi PRU16 akan terangkum dalam Ucapan Dasar Presiden,” katanya.
Beliau berkata, PAT akan dimulakan dengan perasmian sayap parti pada pagi Sabtu ini yang dirasmikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam.
“Perasmian PAT oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diadakan pada Sabtu ini, pukul 8.30 malam. Pada Ahad, PAT akan dimulakan pukul 8.30 pagi dengan sesi perbahasan dan sesi penggulungan di sebelah petang.
“Seramai 14 perwakilan mewakili negeri-negeri akan membahaskan Ucapan Dasar Presiden, empat perwakilan mewakili sayap-sayap dan dua orang mewakili mahasiswa universiti.
“Jumlah perwakilan untuk PAT 2025 adalah seramai 2,555 orang dari 202 Bahagian. Bersatu merupakan parti politik yang terbesar dan mempunyai tapak sokongan yang kuat di seluruh negara termasuk 25 Bahagian di Sabah, 11 Bahagian di Sarawak dan 1 Bahagian di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya. – UTUSAN










