Bersatu belum putus calon Ketua Menteri Sabah

Bersatu belum putus calon Ketua Menteri Sabah

MUHYIDDIN Yassin pada sidang akhbar selepas penutupan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kelapan 2025 di Shah Alam hari ini.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum memutuskan calon Ketua Menteri Sabah dari parti itu termasuk untuk mengaitkan Naib Presidennya iaitu Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, untuk jawatan itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, perkara itu belum dibincangkan atau diputuskan di peringkat kepimpinan ketika ini.

“Boleh jadi…(Ronald Kiandee sebagai calon) tapi kita tidak ada bincang lagi dan belum memutuskannya.

“Bila tiba masa, kita akan umumkan nanti. Kita ada beberapa strategi belum dibereskan seperti kerjasama dengan parti yang sehaluan dengan kita.

“Jika terlalu awal, ia mungkin bukan langkah bijak. Jadi, kita tunggu masa sesuai untuk mengumumkannnya,” katanya pada sidang akhbar selepas penutupan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kelapan 2025 di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya memfokuskan strategi lebih penting termasuk menentukan kerjasama dengan parti politik lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) sedia untuk bekerjasama dengan parti Warisan, kata Muhyiddin, terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku ketika ini.

“Namun, belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung kerjasama dengan parti lain itu keran senario politik Sabah agak berbeza.

“Kita perlu melihat sedalam-dalamnya kerana setiap parti sedang memberi pertimbangan masing-masing. Jadi, tidak sesuai untuk kita membuat keputusan dan komitmen ketika ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengulangi pendirian bahawa PN tidak akan sesekali bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didakwanya telah membelot. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN