PETALING JAYA: “Tiada istilah siapa jatuh cinta dulu. Bercinta selepas kahwin itu lebih indah.” Demikian respons pelakon, Fattah Amin menjawab pertanyaan peminat yang ingin tahu detik awal permulaan hubungannya bersama isteri tercinta, Amira Othman.
Menurut Fattah, perasaan selesa mula terbit selepas mereka kerap bekerjasama dalam mempromosikan beberapa jenama bersama namun, menyerahkan segalanya kepada aturan-Nya.
“Lagipun kami selalu kerja bersama. Jadi, perasaan itu yang buatkan kami selesa dan ikut sahaja arus aturanNya,” katanya.
Fattah berkata demikian ketika membuat sesi siaran langsung bersama Amira di TikTok untuk mempromosikan produk kecantikan sebuah jenama tempatan, semalam.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Wanita Terakhir itu menyifatkan isterinya seorang yang tenang bahkan pandai mengawal emosi dalam apa jua situasi.
“Kalau Amira marah, dia bukan sejenis yang marah-marah. Dia akan diam. Tapi senang untuk dipujuk,” pujinya.
Mendengar pujian suaminya itu, Amira dilihat tersipu malu malah pipinya turut bertukar menjadi merah selepas disakat oleh pengurus Fattah, Aca dan penata gaya tudung, Sayuti.
Lebih mencuri perhatian, pasangan itu juga dilihat saling tidak lekang berpegangan tangan sepanjang sesi siaran langsung itu berlangsung.
Melihat kemesraan dua pasangan sejoli itu, rata-rata warganet mendoakan agar Fattah dan Amira bahagia sehingga ke akhir hayat.
Pada Ahad lalu, Fattah dan Amira sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Golden Palm Tree Resort, Sepang.-UTUSAN