Bekas pelajar Sesma naik taraf surau RM1.5 juta

Bekas pelajar Sesma naik taraf surau RM1.5 juta

MOHD. Zubir Embong (duduk, tengah) menandatangani plak pada majlis penyerahan surau sekolah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) di Kuala Terengganu, Terengganu., semalam.- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Persa­tuan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud atau dikenali dengan MySesma di sini, sekali lagi menghadiahkan senyuman kepada warga sekolah itu apabila menaik taraf surau bernilai RM1.5 juta sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presidennya, Datuk Mohd. Zubir Embong berkata, projek menaik taraf Surau Al-Ghazali itu disiapkan hanya dalam tempoh empat bulan.

Beliau yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata, projek berkenaan adalah antara usaha terbesar MySesma sempena ulang tahun ke-50 penubuhannya.

“Pada awalnya, projek ini dianggap sukar direalisasikan kerana kekangan dana yang mencecah lebih RM2 juta. Namun hasil kesepakatan, alumni berjaya melaksanakannya secara berfasa sehingga siap lebih awal daripada jadual.

“Paling membanggakan, kese­luruhan proses daripada reka bentuk, binaan, konsultan dan pengurusan projek hingga pemantauan semuanya ditunjangi oleh alumni Sesma,” kata­nya pada majlis perasmian surau berkenaan di sini, semalam.

MySesma sebelum ini turut menghadiahkan sebuah bas jenis Semi Hi-Deck bernilai RM670,000 sempena sambutan Hari Guru.

Bas dan surau itu adalah hasil kutipan dana alumni yang kini berjumlah RM3.08 juta, melepasi sasaran asal RM2 juta yang ditetapkan dua tahun lalu. Sebahagian besar dana dibelanjakan untuk projek bas dan surau ini.

Menurut Mohd. Zubir, tiga projek tambahan bakal dilaksanakan selepas ini sebagai kesinambungan usaha MySesma dalam menyokong pembangunan sekolah tersebut.

Sementara itu, Pengetuanya, Hayati A. Rahman berkata, pihak sekolah sangat menghargai sumbangan besar alumni kerana menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk warga sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN