SEREMBAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Abd. Aziz Shamsudin, 71 meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, hari ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkata, Allahyarham meninggal dunia pada pukul 4 petang tadi akibat komplikasi beberapa penyakit.
Beliau berkata telah beberapa kali menziarahi di rumah dan di hospital ketika arwah menjalani rawatan atas masalah kesihatan yang dialami.
“Arwah sememangnya berasal dari Senaling dan sekampung dengan saya.
“Arwah memang baik dan peramah serta banyak berjasa kepada penduduk di Palong,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Abd. Aziz berkhidmat sebagai ADUN Palong selama dua penggal iaitu pada tahun 2004 sehingga 2013.










