Bapa harap pembunuh anak kena hukuman setimpal

Bapa harap pembunuh anak kena hukuman setimpal

KHAMIS Abdul Rahim menunjukkan gambar Allahyarham Nurul Nur Syamira ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: “Saya hanya mahukan keadilan buat arwah anak, apa yang suspek lakukan ke atasnya sangat kejam dan tidak boleh diterima.”

Demikian luah bapa kepada wanita yang maut ditikam di dalam kereta di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan, dekat sini malam kelmarin yang berharap pelaku dalam kes itu dikenakan hukuman setimpal.

Menurut Khamis Abdul Rahim, 55, dia lega dan bersyukur selepas mengetahui suspek disyaki membunuh anak sulungnya, Nurul Nur Syamira Khamis, 28, dan seorang lagi mangsa, Ku Asyraf Ku Shuib, 30, berjaya ditahan di Kuala Terengganu.

Katanya, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Protan di Selinsing dekat Bagan Serai, Perak, malam tadi.

“Saya masih di Perak dan akan pulang ke Alor Setar petang ini. Kehilangan anak sulung saya ini sangat memberi kesan kerana saya sering teringatkannya.

“Biasanya, setiap pagi sebelum keluar bekerja, arwah akan datang bersalaman dengan saya, sekarang tiada lagi. Memang sedih dan sayu,” katanya.

Tambahnya, arwah merupakan anak sulung daripada tiga beradik hasil perkahwinannya dengan arwah isteri yang meninggal dunia pada 2013.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa lelaki dijumpai dalam keadaan tertiarap di atas jalan di hadapan sebuah rumah di situ manakala mangsa wanita di dalam sebuah kereta Proton Wira kira-kira tujuh meter dari Ku Asyraf.

Kedua-dua mangsa berusia 30 dan 28 tahun, dipercayai di­serang seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan mang­sa wanita menggunakan senjata tajam.

Suspek berusia 29 tahun yang melarikan diri sejurus kejadian ditahan di Kuala Terengganu kira-kira pukul 9.45 pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN