IPOH: Bakal guru dipelawa menjadikan pendidikan khas sebagai pilihan pengajaran mereka dalam usaha kerajaan mengatasi isu keperluan guru dalam bahagian pendidikan khas.
Ketika ini bilangan guru pendidikan khas adalah lebih 10,300 orang namun kadar pengisian jawatan hanya sekitar 90 peratus.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kementeriannya meletakkan unjuran bilangan guru pendidikan khas dan mengharapkan bidang itu dipilih sebagai satu laluan kerjaya warga pendidik.
“Dalam masa beberapa tahun ini kita giat mempertingkatkan kesedaran anak-anak kita yang hendak menjadi guru, bahawa selain daripada memilih subjek-subjek yang digemari seperti Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Inggeris dan Matematik.
“Yang sama penting juga adalah opsyen guru pendidikan khas. Kita mempunyai satu keperluan yang amat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran pecah tanah kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack di sini hari ini.
Kah Woh berkata, ketersediaan dari segi jawatan guru pendidikan khas juga menjadi satu daripada kriteria utama pembinaan kelas PPKI di negara ini selain faktor permintaan setempat dan ketersediaan fasiliti.
“Kita sememangnya berharap bahawa bakal-bakal guru kita juga memilih opsyen pendidikan khas sebagai satu laluan kerjaya mereka.
“Sudah tentu semua opsyen subjek mata pelajaran lain kita perlu. Tetapi bagi pendidikan khas ini, kita nampak satu peningkatan dari segi permintaan yang begitu tinggi. Kita berharap guru-guru kita atau bakal guru turut memilih opsyen ini sebagai sebahagian daripada hala tuju dan juga landasan mereka di sekolah,” katanya.
Mengikut laporan pada awal tahun 2025, Kementerian Pendidikan merekodkan seramai 133,921 orang murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di negara ini setakat 31 Januari lalu.
Ketika berucap dalam majlis, Kah Woh berkata murid berkeperluan khas sentiasa menjadi perhatian kementeriannya agar golongan itu menerima pendidikan yang baik sepertimana murid lain.
PPKI SJKC Chung Tack yang akan disiapkan kelak merupakan kelas PPKI kedua di SJKC dalam kawasan Ipoh dan sehingga 31 Julai lalu, bilangan kelas PPKI di sekolah rendah semua aliran sekolah adalah sebanyak 6,799 kelas. – UTUSAN