Asyraf Wajdi terkejut cadangan jadi Menteri Pendidikan

Asyraf Wajdi terkejut cadangan jadi Menteri Pendidikan

ASYRAF Wajdi Dusuki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suasana di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu bertukar riuh apabila Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ditanya mengenai cadangan pengguna media sosial agar beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan.

Asyraf  Wajdi berkata, soalan itu dikemukakan oleh seorang pelajar ketika sesi lawatan beliau ke sekolah berkenaan pagi kelmarin.

Lawatan ke MRSM Kota Kinabalu itu bermula seawal pukul 7 pagi sempena program #TerjahMRSM dan Kempen Sifar Buli.

“Terkejut saya bila ada pelajar bertanya, apa pendapat saya tentang cadangan jadi Menteri Pendidikan. Saya bergurau tanya semula, kamu setuju atau tidak? Spontan seluruh dewan jawab tidak, sebab mereka mahu ‘Daddy Mara’ terus jaga mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, MRSM Kota Kinabalu terletak bersebelahan dengan sekolah menengah agama yang baru-baru ini dikaitkan dengan tragedi kematian arwah Zara Qairina akibat buli.

“Memang tepat saya datang untuk menekankan mesej sifar buli kepada anak-anak ini,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau beberapa projek penambahbaikan prasarana termasuk pembinaan tangki tambahan bernilai RM100,000 yang pernah diluluskan dua tahun lalu bagi mengatasi masalah bekalan air.

“Alhamdulillah, saya dapat lihat perkembangan positif termasuk penyelesaian masalah tangga curam yang turut diluluskan sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Asyraf Wajdi mengadakan sesi dialog dengan pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Menariknya, walaupun hampir separuh pelajar terdiri daripada Bumiputera bukan Islam, mereka sendiri yang menjerit meminta saya menguji hafazan pelajar Islam selepas ucapan saya.

“Walaupun hanya sempat bersama kira-kira tiga jam sebelum ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur, hati saya cukup seronok melihat wajah anak-anak yang begitu bersemangat, ceria dan riang dengan kehadiran saya,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×