PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Doha malam tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam yang menghimpunkan pemimpin serta wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada pukul 9.30 malam Ahad waktu tempatan (2.30 pagi Isnin waktu Malaysia) sebelum beliau menerima kawalan kehormatan daripada Pengawal Istiadat Amiri.
Ketibaan Anwar disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar, Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al Thani bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, Faizal Razali.
Turut mengiringi delegasi ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan serta pegawai kanan Kementerian Luar.
Anwar hadir ke Doha atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani berikutan perkembangan terkini serangan Zionis Israel terhadap negara itu.
Terdahulu, pesawat khas yang membawa Anwar dan delegasi berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang pada pukul 7 malam waktu Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia akan membawa suara rakyat bagi menzahirkan solidariti penuh terhadap Qatar yang kini menjadi mangsa serangan biadab Zionis selepas Palestin.
“Serangan terhadap Qatar ini jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas. Ia bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah turut mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya,” katanya. – UTUSAN