PETALING JAYA: Perdana Menteri baharu Thailand, Anutin Charnvirakul dijemput berkunjung ke Malaysia selepas memulakan tugas itu secara rasmi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyampaikan jemputan itu kepada Anutin dalam perbualan mereka menerusi panggilan telefon, semalam.
“Kunjungan (Anutin) itu antaranya bagi mempereratkan hubungan baik antara kedua-dua negara berjiran.
“Kami membincangkan perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja. Saya menekankan penting bagi semua pihak mengekalkan ketenteraman dan tidak membiarkan sebarang perbezaan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu,” katanya semalam.
Anutin, 58, yang menerajui parti Bhumjaithai, memegang jawatan Perdana Menteri Thailand ke-32 secara rasmi pada 7 September lalu selepas menerima perkenan diraja, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam kepimpinan politik negara itu.-UTUSAN










