Anggota polis cedera ditikam, ditembak ketika ronda cegah jenayah - Utusan Malaysia

Anggota polis cedera ditikam, ditembak ketika ronda cegah jenayah

KENDERAAN dipandu suspek yang membawa mayat seorang wanita di kawasan Simpang Pulai, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak seorang lelaki ketika menjalankan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan Simpang Pulai awal pagi tadi.

Kejadian itu membawa kepada penemuan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang kenderaan yang dipandu suspek.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi apabila sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Pulai mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Taman Desa Pakatan.

Katanya, anggota cuba menahan kereta tersebut namun suspek bertindak memecut kenderaan untuk melarikan diri.

“Anggota kemudian mengejar suspek sebelum kenderaan dipandunya berhenti di kawasan kebun kelapa sawit.

“Dalam usaha melakukan tangkapan, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis itu sebelum suspek merampas pistol mangsa dan menembaknya di bahagian perut.

“Dalam kejadian itu, suspek turut menikam mangsa di perut sebelum dia melarikan diri bersama senjata api berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, anggota polis berpangkat konstabel berusia 26 tahun itu bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan yang ditinggalkan suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

“Mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kematiannya,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 012-2500019 bagi membantu siasatan.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN