KANGAR: Meskipun baharu dua tahun menyertai Pas, kejayaan Datuk Seri Shahidan Kassim menang pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat bagi sesi 2025/2027 membuktikan pengaruh Ahli Parlimen Arau itu masih kuat dalam arena politik negara.
Shahidan, 74, yang memperoleh 717 undi berjaya menempatkan diri dalam kalangan 18 AJK yang dipilih dalam pemilihan bersempena Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kedah berakhir kelmarin.
Ironinya, kemenangan Shahidan bukan sahaja mengukuhkan peranannya dalam Pas, malah membuka lembaran kembali menjadi pemimpin utama di Perlis.
Di Perlis, sebut sahaja nama Shahidan pasti semua sedia maklum mengenai kewibawaannya sejak hampir empat dekad lalu.
Shahidan pernah memegang jawatan Menteri Besar dari 1995 hingga Mac 2008, cukup sinonim dalam kalangan rakyat Perlis yang masih mengenang jasa beliau.
Malah, pengaruhnya itu juga berjaya membantu Perikatan Nasional (PN) merampas negeri ini buat pertama kali dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
Dalam PRU15, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah semua 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen dengan Shahidan kekal di Parlimen Arau selepas menang atas tiket PN dengan majoriti cukup besar iaitu 23,216 undi.
Kejayaan bekas orang nombor satu UMNO Perlis itu menempatkan dirinya dalam barisan AJK Pas Pusat, mungkin atas faktor beliau sentiasa bekerja dan mudah didekati rakyat di peringkat akar umbi.
Meskipun masih baharu dalam Pas, namun Shahidan tidak kekok mendekati ahli parti sehingga mudah diterima, selain disenangi dalam kalangan kepemimpinan Pas Pusat.
Pas juga sedar, pengaruh Shahidan sangat membantu dan diperlukan untuk mengekalkan negeri ini dalam PRU16 yang dilihat lebih mencabar.
Selain lebih aktif berperanan di peringkat pusat khususnya di Dewan Rakyat, pengalaman dan pengaruh Shahidan juga sangat diperlukan bagi membantu Pas dan PN di Perlis.
Malah, dalam usaha mengekalkan pemerintahan PN di Perlis, Shahidan perlu diberi peranan mengetuai gabungan tersebut dalam mendepani pilihan raya akan datang.
Dalam suasana politik dan prestasi semasa pentadbiran Kerajaan PN di Perlis, pengaruh Shahidan antara yang dilihat bakal menjadi ‘penyelamat’. – UTUSAN










