Anak orang utan sambut hari lahir pada Hari Malaysia - Utusan Malaysia

Anak orang utan sambut hari lahir pada Hari Malaysia

ANAK orang utan yang diberi nama Aggy dilahirkan 16 September tahun lalu di Pulau Orang Utan di Tasik Bukit Merah di Bagan Serai. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Sambutan Hari Malaysia di Pulau Orang Utan di tengah Tasik Bukit Merah di sini lebih istimewa apabila seekor anak orang utan di pulau itu yang bernama ‘Aggy’  meraikan ulang tahun kelahirannya yang pertama bersama pengunjung.

Pengurus Yayasan Pulau Orang Utan, Nurhafizi Mohamad Hapiszudin berkata, Aggy yang kini berusia setahun, dilahirkan pada sambutan Hari Malaysia pada 16 September tahun lalu.

Kisah hidup anak orang utan itu istimewa kerana kematian ibu sebulan selepas Aggy dilahirkan.

Menurut Nurhafizi, ibu Aggy yang bernama April, seekor Orang Utan betina berusia 15 tahun mati akibat komplikasi selepas melahirkan Aggy.

“Sejak itu, Aggy dijaga sepenuhnya oleh renjer di Pulau Orang Utan yang melatihnya untuk berdikari di habitat semula jadinya. ” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Nurhafizi, lazimnya, anak Orang Utan diajar untuk hidup oleh ibu haiwan tersebut namun bagi Aggy, manusia menjadi ‘guru pertama’ dalam perjalanan hidupnya.

“Biasanya ibu akan melatih anak urang utan untuk belajar memanjat, mencari makan dan menyesuaikan diri dengan alam sekitar tetapi dalam kes Aggy, renjer yang mengambil alih tugas tersebut,” katanya.

Kini, Pulau Orang Utan yang menempatkan 15 ekor Orang Utan termasuk yang tertua berusia 39 tahun dan yang termuda baru sahaja dilahirkan pada 4 Julai lalu, semakin menjadi tumpuan pelancong.

Pulau itu kembali dibuka kepada pelancong selepas tidak dapat beroperasi selama lebih dua bulan ekoran penyusutan air di Tasik tersebut akibat musim kemarau.

Nurhafizi berkata, kehadiran tiga anak orang utan termasuk Aggy (setahun), Isak (3 tahun) dan Orked yang baru lahir, menambahkan lagi tarikan kepada destinasi ekopelancongan unik itu.

Katanya, sempena Hari Malaysia, pihak pengurusan Pulau Orang Utan mengambil inisiatif mengadakan sambutan ulang tahun pertama Aggy sebagai daya tarikan khas kepada pengunjung.

“Aggy lahir tepat pada 16 September tahun lalu, bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia. Jadi ulang tahunnya kali ini diraikan bersama semangat kemerdekaan dan kebanggaan negara,” katanya.

Tambahnya, para pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat secara dekat gelagat Aggy yang semakin lincah, malah turut dapat mengenali lebih dekat usaha pemuliharaan Orang Utan, spesis yang semakin terancam itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN