KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 31 akan menyaring terlebih dahulu setiap kandungan yang dimuat naik di media sosialnya.
Kata Bella pendekatan itu dibuat bagi mengelak perkara tidak diingini di kemudian hari.
“Kalau bukan saya, ibu saya yang akan berbuat demikian.
“Mana-mana kandungan yang tidak sesuai itu kami tapis.
“Anak-anak saya membesar. Tak mahulah mereka melihat kandungan-kandungan kurang manis dalam media sosial saya di kemudian hari,” katanya.
Bella berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena sidang media drama FYP di Wisma TV, Angkasapuri baru-baru ini.
Dalam pada itu, Bella bersyukur kerana rata-rata klien akur dan faham dengan permintaannya untuk tidak memuat naik kandungan yang sensitif.
“Ada juga kandungan yang saya tolak dan klien pun memahami.
“Sebolehnya memang saya akan elakkan kandungan yang bersifat kontroversi kerana membabitkan keluarga,” kongsinya. – UTUSAN










