AKPS ambil alih sepenuhnya tugas pemeriksaan di pintu sempadan

AKPS ambil alih sepenuhnya tugas pemeriksaan di pintu sempadan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemeriksaan di pintu sempadan negara yang sebelum ini dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan diambil alih sepenuhnya oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, ia adalah sebahagian inisiatif kerajaan memperkukuh kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di sempadan.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 1,053 waran perjawatan pegawai JKDM telah dipindahkan kepada AKPS

“Fasa pertama pelaksanaan bermula pada 1 Januari lalu di Rantau Panjang, Kelantan melibatkan lapan pegawai JKDM yang dipindahkan ke AKPS.

“Fasa kedua melibatkan 21 pintu masuk tambahan dengan perpindahan seramai 1,045 pegawai pada 1 Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dengan pengambilalihan itu, AKPS bertanggungjawab melaksanakan pemeriksaan terhadap pergerakan individu, kenderaan serta barangan dagangan di semua pintu masuk negara.

“JKDM pula akan terus kekal sebagai agensi pemungut cukai tidak langsung utama negara di semua pintu masuk darat, laut dan udara dengan memberi tumpuan kepada fungsi teras iaitu penaksiran serta kutipan cukai,” katanya.

Anis Rizana berkata, pengukuhan peranan AKPS mampu memperkukuh usaha membanteras penyeludupan serta jenayah rentas sempadan serta menjamin keselamatan rakyat dan memelihara kedaulatan negara.

“JKDM optimis kerjasama erat dengan AKPS akan memastikan proses pelepasan dagangan dan pergerakan individu berjalan lancar serta menyumbang kepada peningkatan hasil negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN