JERANTUT: “Dengan bantuan pelbagai pihak, saya sudah tidak sabar melangkah masuk belajar ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).”
Demikian kata Muhammad Aidil Izzuddin Akhbar Nizam dari Felda Kota Gelanggi Dua, di sini, yang menerima komputer riba sumbangan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk memudahkan pengajiannya di universiti itu.
Sebelum ini, setelah kisah Muhammad Aidil Izzuddin yang bakal mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Laut) disiarkan Utusan Malaysia, beban kesusahan peringkat awalnya reda dan terus mendapat maklum balas pelbagai pihak untuk membantu kebajikannya daripada Pengurusan Hal Ehwal pelajar (HEP) UKM, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, pemimpin setempat dan individu dermawan.
Muhammad Aidil Izzuddin berkata, sumbangan terbaharu iaitu seunit komputer riba itu cukup bermakna baginya kerana perkara utama yang difikirkan adalah bagaimana untuk membeli peralatan tersebut setelah menerima tawaran pengajian daripada UKM.
“Setelah menerima tawaran dua minggu lalu, perkara utama saya mohon kepada ibu supaya membeli komputer riba, tetapi dengan nada sedih (ibu) beritahu dia tidak mampu kerana tiada wang.
“Hati saya dirundung sedih mendengar penjelasan ibu termasuk buntu mencari wang untuk membayar yuran pendaftaran RM1,200 perlu dilunaskan sebelum melaporkan diri di UKM pada 27 September ini.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, HEP UKM, Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) Parlimen Jerantut dan para dermawan sehingga membolehkan saya selesa melangkah bagi memulakan pengajian dan berjanji belajar bersungguh ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam. – UTUSAN










