AI perlu terapkan empati dan integriti dalam perkhidmatan awam

AI perlu terapkan empati dan integriti dalam perkhidmatan awam

Persidangan Perkhidmatan Awam kali ke 29 tahun 2025 di Auditorium Seri Angkasa hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) tidak boleh dilihat semata-mata sebagai alat teknologi, sebaliknya perlu digunakan untuk membentuk perkhidmatan awam yang berteraskan empati, integriti dan kesejahteraan, termasuk mewujudkan suasana kerja yang menyeronokkan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, hanya penjawat awam mampu memahami sisi manusia dalam setiap dasar dan strategi, justeru penggunaan AI mesti dilengkapi dengan sentuhan kemanusiaan.

“Kita perlu merangka pendekatan menggunakan AI bagi membentuk perkhidmatan awam yang mempunyai empati, integriti dan mengangkat nilai kesejahteraan seperti keseronokan bekerja. Sebagai penjaga kesejahteraan minda dalam organisasi, kitalah yang memahami sisi manusia dalam setiap dasar dan strategi

“Teknologi sememangnya boleh meramal keperluan, tetapi hanya manusia yang boleh menyantuni perasaan. Algoritma boleh membaca corak tingkah laku tetapi hanya insan boleh membaca makna di sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Perkhidmatan Awam kali ke 29 tahun 2025 di Auditorium Seri Angkasa hari ini.

Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali Ke-29 Tahun 2025 yang bermula semalam dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama pelbagai kementerian, agensi dan pertubuhan profesional itu berlangsung selama dua hari, dari 29 hingga 30 September, sebagai platform penting membincangkan isu kesejahteraan mental dan psikologi pegawai awam di era digital.

Dengan tema “AI & Pesona Diri: Kemandirian di Era Infodemik”, persidangan berkenaan menekankan cabaran ledakan maklumat serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin memberi kesan terhadap kesejahteraan psikologi masyarakat dan sektor perkhidmatan awam.

Kehadiran kira-kira 1,000 Pegawai Psikologi dari seluruh negara mencerminkan komitmen sektor awam memperkukuh daya tahan emosi, literasi digital dan keseimbangan mental dalam mendepani cabaran teknologi semasa.

Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz turut  menegaskan, pegawai psikologi dalam perkhidmatan awam juga mempunyai peranan besar, khususnya dalam menangani fenomena infodemik yang boleh menjejaskan kestabilan emosi masyarakat akibat lambakan maklumat benar bercampur palsu.

“Pegawai psikologi perlu merangka intervensi agar mesej yang jelas sampai kepada rakyat, sekali gus meredakan kegusaran awam dan mengurangkan tekanan mental,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan menekankan bahawa teknologi hanya berperanan melengkapkan tugas penjawat awam, bukannya mengambil alih tanggungjawab mereka.

Acara berkenaan turut diserikan dengan Konsert Simfoni Suara Hati pada malam 29 September, sebagai simbolik empati dan solidariti melalui seni persembahan.

Majlis perasmian turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Psikologi serta peluncuran Buku Kompendium Rekomendasi Polisi Kesejahteraan Psikologi Perkhidmatan Awam, sebuah dokumen rujukan strategik yang bakal memperkukuh dasar serta intervensi jangka panjang dalam sektor awam.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN