Ahli Bersatu rosak imej parti berdepan tindakan pemecatan

Ahli Bersatu rosak imej parti berdepan tindakan pemecatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didapati bersalah melanggar disiplin dan merosakkan imej parti akan berdepan dengan tindakan tegas termasuklah pemecatan serta-merta. 

Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sebagai sebuah institusi dipertanggungjawabkan untuk menjaga disiplin, integriti dan tatatertib organisasi, pihaknya menegaskan bahawa setiap pelanggaran disiplin dan peraturan parti ditangani tanpa kompromi.

Katanya, pihaknya akan segera bersidang dalam masa terdekat bagi meneliti semua laporan serta aduan yang telah dikemukakan. 

“Semua ahli yang telah dirujuk kepada Lembaga Disiplin akan dipanggil untuk menghadiri prosiding secara rasmi bagi memberikan penjelasan serta membela diri mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan. 

“Kami ingin menegaskan bahawa proses ini akan dijalankan dengan telus, adil, dan berlandaskan Perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan.

Lembaga Disiplin Parti Bersatu kemudian menyeru agar semua ahli kekal fokus kepada perjuangan sebenar dan mengelakkan serta menghentikan serta-merta sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh melemahkan parti dan terus mendukung kepimpinan tertinggi parti. 

Katanya, Lembaga Disiplin memandang serius segala perkembangan dan kenyataan mutakhir yang melibatkan beberapa orang ahli parti.

“Sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga disiplin, integriti, dan tatatertib organisasi, kami menegaskan bahawa setiap pelanggaran disiplin dan peraturan parti akan ditangani tanpa kompromi.

“Disiplin adalah asas kekuatan kita dan ia mesti dipelihara bersama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN