PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan Selamat Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-92 kepada seluruh warga pasukan keselamatan negara itu.
Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan semua pegawai serta anggota ATM yang sentiasa komited mempertahankan kedaulatan negara.
“Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka turut mendoakan agar seluruh warga ATM sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah mempertahankan tanah air tercinta,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada masa sama, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pesara ATM yang pernah berkhidmat dan mencurahkan sumbangan kepada pasukan pertahanan negara.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda. – UTUSAN










