PETALING JAYA: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Parit, Meor Naqiuddin Shamsudin menafikan beliau mempunyai agenda peribadi selepas mengkritik perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hujung minggu lalu.
Meor Naqiuddin berkata, kenyataan Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid yang menuduhnya membawa agenda tertentu adalah tidak berasas dan hanya mengundang salah faham dalam kalangan ahli.
Meor Naqiuddin turut mempersoalkan sama ada Harris Idaham benar-benar meneliti atau memahami pandangannya sebelum membuat kenyataan balas.
“Dalam penulisan saya, jelas saya katakan isu perihal agenda rakyat telah ‘tenggelam’ kerana kenyataan media yang hanya menekankan perihal kedudukan Presiden parti dan calon Perdana Menteri.
“Ya, saya akui, agenda ramai perwakilan termasuk saya tidak tercapai, iaitu agenda rakyat,” katanya dalam kenyataan di platform Facebook.
Harris Idaham menolak dakwaan Meor Naqiuddin bahawa PAT Bersatu 2025 tidak membincangkan agenda untuk rakyat dan hanya menjadi bualan ramai kerana perbalahan kecil dan pengumuman calon Perdana Menteri.
Pada Ahad lalu, PAT Bersatu sebulat suara meluluskan usul menamakan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Meor Naqiuddin berkata, kekecewaan yang disuarakan bukan kerana kepentingan peribadi, sebaliknya berpunca daripada kegagalan perhimpunan mengangkat isu rakyat yang lebih mendesak.
Katanya, beliau tidak pasti sama ada Harris Idaham dan sekutunya telah membaca komen-komen negatif daripada orang ramai, ahli parti atau rakan komponen Perikatan Nasional (PN) mengenai usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.
“Jika ada pihak yang mencemarkan imej parti, ia adalah kenyataan Harris sendiri. Tetapi jika beginilah tahap keupayaan ketua penerangan, maka kita fahamlah mengapa banyak perkara yang dibangkitkan parti tidak difahami oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN










