677 warga SK Serkam Darat berdepan risiko bumbung reput

677 warga SK Serkam Darat berdepan risiko bumbung reput

HAIRUL Amin Madon menunjukkan sebahagian siling kelas yang runtuh akibat kayu tetulang bumbung yang reput di SK Serkam Darat, Jasin, Melaka. – UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Lebih 600 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat di sini berdepan risiko keselamatan apabila struktur bumbung dan sistem pendawaian sekolah berusia 25 tahun itu semakin uzur dan berbahaya.

Keadaan tersebut sudah berlarutan hampir dua tahun sehingga menyebabkan sebuah kelas di blok B terpaksa ditutup selepas silingnya runtuh manakala sebuah lagi kelas dijangka ditutup tidak lama lagi kerana faktor bahaya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Serkam Darat, Hairul Amin Madon berkata, masalah itu melibatkan semua tiga blok bangunan dengan kayu tetulang reput serta genting dan siling yang runtuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bumbung kayu semakin reput, ada genting jatuh dan siling runtuh, sekarang satu kelas sudah ditutup dan mungkin akan ada lagi kelas ditutup kerana bahaya.

“Kebimbangan utama adalah jika bumbung atau siling jatuh mengenai murid, masalah ini sudah hampir dua tahun berlarutan, namun belum ada tindakan tuntas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri boleh mengundang tragedi sekiranya dibiarkan tanpa penyelesaian segera apabila sekolah berkenaan mempunyai seramai 619 murid serta 58 guru dan kakitangan sokongan.

“Nyawa guru serta kakitangan sokongan jadi taruhan jika keadaan ini terus dibiarkan.

“Bukan sahaja bumbung, sistem pendawaian pun banyak masalah, banyak soket suis tidak boleh digunakan, guru terpaksa berkongsi satu soket, bayangkan kalau berlaku litar pintas, keselamatan murid semakin terancam,” katanya.

Hairul Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Serkam Darat berkata, beliau berharap pihak berwajib segera melakukan penyelenggaraan menyeluruh demi keselamatan dan kelangsungan pembelajaran anak-anak di sekolah tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini