46 tahun dalam dunia wartawan, semua tersimpan dalam ingatan 

46 tahun dalam dunia wartawan, semua tersimpan dalam ingatan 

FAHMI Fadzil (dua dari kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md. Isa (tiga dari kiri) beramah mesra dengan Ismail Lamo (kiri) ketika penyerahan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di Tawau, Sabah. - UTUSAN/NASRAWATI SYARIFUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: “Masih segar di ingatan saya ketika buat liputan nahas kapal terbang terhempas tahun 1995 dan penculikan Abu Sayyaf di Pulau Sipadan tahun 2000.”

Itu antara pengalaman paling berharga dan tidak dapat dilupakan seorang veteran pengamal media, Ismail Lamo sepanjang 46 tahun kariernya.

Ismail, 67, merupakan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menyaksikan sendiri bagaimana sebuah pesawat Fokker milik Malaysia Airlines (MAS) berpusing-pusing di udara sebelum terhempas dan merempuh kawasan perkampungan di Kampung Sri Menanti pada 1995.

“Ketika itu anak-anak saya yang sedang bermain di luar rumah berlari memanggil saya untuk melihat sendiri pesawat itu terhuyung-hayang di udara sebelum terhempas. 

“Saya kemudian ke lokasi kejadian dan pada zaman itu saya belum ada telefon bimbit, jadi saya terpaksa meminjam telefon salah seorang wakil rakyat pada ketika itu untuk hubungi BERNAMA di Kuala Lumpur. 

“Dari situlah berita nahas itu tersebar ke seluruh negara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini selepas menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil semalam.

Ismail ialah penerima sumbangan yang ke-29 di Sabah daripada 494 penerima seluruh negara.

Ismail juga menceritakan pengalamannya sebagai wartawan semasa menjejakkan kaki ke Pulau Sipadan, Semporna ketika kumpulan pengganas Abu Sayyaf menculik 21 tebusan pada 2000.

“Saya menaiki bot bersama pihak berkuasa ke pulau itu dan saya orang pertama yang melihat tulisan Abu Sayyaf di kain rentang dan digantung di balai raya. Saya takut, tapi saya tetap beranikan diri untuk berada di tempat itu,” katanya.

Ditanya berkenaan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, Ismail berkata, ia dapat membantu dirinya yang berdepan penyakit jantung sejak 10 tahun lalu. 

“Saya bersyukur dengan sumbangan ini saya dapat menampung kos beli tiket penerbangan dan rawatan susulan setiap enam bulan di Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN