30,891 individu ditahan terbabit penipuan dalam talian

30,891 individu ditahan terbabit penipuan dalam talian

RUSDI MD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 30,891 individu ditahan dipercayai ter­libat dengan kes penipuan dalam talian sepanjang 2024 hingga Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, ia membabitkan seramai 19,128 pada 2024 manakala 11,763 ditahan sejak Januari hing­ga Julai lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 645 warga asing turut ditahan dipercayai terlibat de­ngan kes penipuan dalam talian.

“Sejak 2024 hingga Julai lalu, kita menahan seramai seramai 30,891 individu ditahan terlibat dengan penipuan dalam talian.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak 22,614 kes penipuan ‘online’ berjaya dituduh dalam tempoh terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Rusdi berkata, sepanjang 2024 hingga Julai lalu, sebanyak 388 pusat panggilan diserbu di seluruh negara.

Jelasnya, ia membabitkan 2,593 tangkapan dalam tempoh terbabit.

“Kita mempergiatkan serbuan di pusat-pusat panggilan melalui 222 serbuan pada 2024 dan 166 dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

“Ia membabitkan sebanyak 1,679 tangkapan pada tahun lalu dan 914 lagi sehingga Julai lalu,” ujarnya.

Akhbar ini sebelum ini me­laporkan sindiket penipuan atau scammer mengaut keuntungan sebanyak RM3.1 bilion bagi tempoh 19 bulan sepanjang tahun 2024 hingga Julai lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 67,317 kes penipuan berlaku dengan purata kira-kira 118 kes dilaporkan berlaku setiap hari di negara ini akibat ditipu ‘scammer’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN