19 pelajar tajaan JPA berjaya terima masuk universiti terkemuka dunia

19 pelajar tajaan JPA berjaya terima masuk universiti terkemuka dunia

Seramai 19 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Ambilan 2023 berjaya menempatkan diri di universiti-universiti  terkemuka dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 19 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Ambilan 2023 berjaya menempatkan diri di universiti-universiti  terkemuka dunia dalam senarai Top 20 QS World University Ranking  Global.

JPA dalam kenyataan memaklumkan, pencapaian gemilang hasil kecemerlangan dalam peperiksaan A Level ini, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam  melahirkan modal insan berwibawa dan berdaya saing di pentas  antarabangsa.

Katanya, antara universiti berprestij itu ialah University of Cambridge, Imperial College London, University College London, King’s College London, The London School of Economics and Political Science serta The University of Edinburgh di United Kingdom.

“Kejayaan ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam melahirkan modal insan unggul berkelas dunia, selaras dengan aspirasi menjadikan  Malaysia sebuah negara berprestasi tinggi, berdaya saing dan disegani di  pentas global,” katanya hari ini.

JPA berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih, disiplin tinggi dan daya juang luar biasa para pelajar dan pendidik sepanjang mengikuti pengajian peringkat A Level.

 Lebih mengujakan, pencapaian mereka bukan sahaja membanggakan  diri, keluarga dan institusi pendidikan, malah turut membuktikan bahawa  Malaysia mampu melahirkan generasi berkelas dunia yang seterusnya  mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.

“JPA menegaskan bahawa kecemerlangan ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan dalam menyantuni rakyat, berteraskan nilai kecemerlangan, integriti dan ihsan dalam melahirkan generasi pewaris  negara yang berwibawa.

“Para pelajar ini menggalas amanah besar sebagai  duta kecil negara, mencerminkan citra rakyat Malaysia yang berilmu,  berakhlak dan berdaya saing di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN