Def Gab C kembali, hangatkan festival anak muda - Utusan Malaysia

Def Gab C kembali, hangatkan festival anak muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA kemunculan Def Gab C di era 90-an menerusi album Citarasa, hampir semua orang termasuk di ceruk kampung manapun tahu menyanyikan lagu Ibukota Cinta. Kemudian terus mendaki populariti dengan deretan lagu lain seperti Marilah Maria, Merah, Cinta Sakti hasil ciptaan Datuk M Nasir yang kemudian dirakamkan semula oleh Senario bagai parodi bertajuk Cinta Satey.

Bagaimanapun, selepas menggondol pengiktirafan kategori Lagu Rock Terbaik (Anugerah Era 2000), final Anugerah Juara Lagu (AJL2000) serta Album Rock Terbaik (AIM2002) khabar kumpulan ini semakin tenggelam. Masing-masing sibuk fokus dengan kerjaya solo di samping memberi ruang buat vokalis kumpulan ini untuk berehat atas faktor kesihatan.

Kini, Def Gab C yang dianggotai Asheed (vokalis), Jemboo (gitar), Ahtonk (drum) dan Epyn (bass) yakin ini adalah waktu yang tepat untuk memberitahu khalayak kumpulannya sudah bersedia untuk kembali tidak hanya mengenang nostalgia tetapi menawarkan warna baharu lagu-lagu rock di Malaysia.

“Sudah 10 tahun juga kami diam. Sebenarnya sejak tahun 2018 lagi kami sudah ada perancangan untuk kembali bernyanyi. Ketika itu kami ada terlibar dengan projek bersama untuk Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

“Cuma ketika itu kami belum beritahu semua kami sudah kembali secara rasmi. Sebab itu ramai tidak tahu. Projek itu pula tertangguh akibat pandemik,” kata vokalis kumpulan ini, Asheed.

Bagaimanapun, Def Gab C sudah perlahan-lahan memunculkan diri seperti kali terakhir mereka beraksi di pentas Zepp Kuala Lumpur untuk konsert ambang Merdeka Konsert Merah Hitam tahun lalu.

Kini siapa sangka, Def Gab C muncul sebagai headliner concert atau penyanyi utama untuk salah satu festival terbesar di Malaysia iaitu Festival AirAsia Hausboom 2025 pada 11 dan 12 Oktober ini di Maeps, Serdang.

“Kami tahu festival ini memang banyak dihadiri anak muda. Mungkin waktu mereka dengan lagu kami, umur mereka masih kecil. Jadi semasa persembahan, kami nak kenalkan lagu-lagu kami di era 90-an dan awal 2000 kepada mereka.

“Kami anggap festival ini sebagai ‘salam perkenalan’ buat anak muda kepada muzik-muzik rock kami. Dalam masa yang sama, kami sedang merancang single terbaru sebagai hadiah buat semua.

“Cuma single itu kami rancang untuk terbitkan pada hujung tahun ini. Kami sangat berhati-hati memilih melodi dan susunan lagu agar pendengar hari ini boleh terima,” tambahnya lagi.

Bercerita mengenai tahap kesihatan Asheed atau Mohd. Ashid Ahmad, 51 mengenai sakit sendi yang dihidapinya sejak 20 tahun lalu. Asheed bersyukur kerana sakit dihidapinya tidak menganggu vokal semasa membuat persembahan.

“Saya ikhtiar mendapatkan rawatan alternatif termasuk akupuntur. Tapi ia tidak pernah mengganggu vokal saya atau menyerang semasa saya mencari rezeki. Alhamdulillah, memang itulah yang saya doa selalu. Jangan jatuh sakit semasa saya sedang bekerja.

“Cuma dari aspek stamina, untuk umur begini sudah tidak boleh lagi ke gim cuma buat latihan teknikal. Walaupun tak secergas dahulu tapi kami yakin boleh beri persembahan terbaik.

“Kami percaya dengan apa yang dinamakan ‘semangat pentas’. Itulah sebabnya kami teruskan semua ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN