PETALING JAYA: Perjawatan seramai 1,045 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan bertugas di 21 pintu masuk mulai esok dalam membantu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mempertingkatkan penguatkuasaan, kawalan dan keselamatan.
AKPS berkata, pihaknya menyambut baik atas sokongan yang diberikan JKDM mengenai pengambilalihan fungsi pemeriksaan di pintu masuk sempadan.
“AKPS memandang ke hadapan dengan hubungan kerjasama yang terjalin antara AKPS dengan JKDM dan akan terus kukuh bersama-sama merealisasikan hasrat kerajaan dalam mendaulatkan sempadan negara demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, fungsi pemeriksaan di pintu masuk sempadan negara yang sebelum ini dilaksanakan JKDM akan diambil alih sepenuhnya oleh AKPS secara rasmi.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan memperkukuh kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di sempadan.
Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 1,053 waran perjawatan pegawai JKDM telah dipindahkan kepada AKPS
Fasa pertama pelaksanaan bermula pada 1 Januari lalu di Rantau Panjang, Kelantan melibatkan lapan pegawai JKDM yang dipindahkan ke AKPS.
Fasa kedua melibatkan 21 pintu masuk tambahan dengan perpindahan seramai 1,045 pegawai pada esok
Katanya, dengan pengambilalihan itu, AKPS kini bertanggungjawab melaksanakan pemeriksaan terhadap pergerakan individu, kenderaan serta barangan dagangan di semua pintu masuk sempadan negara.
JKDM pula akan terus kekal sebagai agensi pemungut cukai tidak langsung utama negara di semua pintu masuk darat, laut dan udara dengan memberi tumpuan kepada fungsi teras iaitu penaksiran serta kutipan cukai.
Pengukuhan peranan AKPS diyakini mampu memperkukuh usaha membanteras penyeludupan serta jenayah rentas sempadan serta menjamin keselamatan rakyat dan memelihara kedaulatan negara. – UTUSAN










