HULU LANGAT: Perkahwinan tiga tahun penyanyi, Zehra Zambri dan suaminya, Nur Mohd. Iqwan akhirnya ternoktah apabila keduanya sah bercerai talak satu pagi tadi.
Iqwan, 42, melafazkan cerai terhadap Zehra, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, di sini.
Lafaz tersebut dibuat di hadapan Hakim Wan Nurulddin Wan Hussain.
Zehra ketika ditemui media pagi ini meluahkan rasa syukur kerana keinginannya untuk bercerai akhirnya dilunaskan suami.
“Alhamdulillah, selepas berbulan-bulan turun naik mahkamah, hari ini semuanya selesai. Hilang sudah beban yang saya tanggung.
“Sekarang ini banyak perkara yang sedang saya rancang. Berdamai dengan takdir ini perlukan masa.
“Kini adalah masa untuk saya cari semangat baharu. Saya nak bina kehidupan baru, nak bangkit semula,” katanya.
Zehra hadir ke mahkamah pagi tadi ditemani bapanya, Zambri Ahmad dan Peguam Syarie, Abd Muiz Samsuri.
Iqwan dalam pada itu meluahkan rasa lega kerana perceraiannya dengan Zehra berlaku secara baik.
“Alhamdulillah, kami selesai bercerai dengan talak raj’i. Syukur kerana tiada pertikaian. Saya beri apa dia mahukan (perceraian).
“Saya tidak berat hati melepaskan dia kerana perceraian ini adalah atas permintaannya.
“Saya sekadar mengotakan janji. Jadi memang tak ada peluang atau ruang untuk kami berbaik semula,” kongsinya.
Zehra sekitar Mac lepas telah memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ terhadap Iqwan dengan lima tuntutan yang dikemukakan kepada mahkamah.
Antara tuntutan tersebut adalah dakwaan bersangkutan nafkah anak, tiada persefahaman dengan pasangan dan berlaku keganasan rumah tangga.
Bekas pasangan suami isteri itu berkahwin pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Zahiyah Iqleela, 3.- UTUSAN