PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas pihak tertentu yang menunggang isu kematian remaja 13 tahun, Zara Qairina Mahathir untuk keuntungan politik dan menyifatkannya sebagai “keterlaluan”.
“Kita tak boleh tunggang dan main politik atas nyawa orang. Keluarga ditimpa kesedihan anak tunggal meninggal kita nak
tunggang dan nak dapat keuntungan politik atas derita orang lain dan atas nyawa orang lain. Ia (keterlaluan),” katanya pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan peringkat kementerian dan perhimpunan bulanan di sini, hari ini.
Sejak kematian Zara Qairina mendapat liputan meluas, beberapa pihak cuba menggunakan isu itu untuk meraih sokongan masyarakat termasuk menyalahkan beberapa kementerian dan jentera kerajaan dalam menangani isu buli serta siasatan berkaitan kematian remaja 13 tahun itu.
Kematian Zara Qairina menjadi topik panas di media sosial dengan pelbagai pihak membuat pelbagai spekulasi.
Saifuddin berkata, keadilan untuk Zara Qairina Mahathir hanya boleh ditegakkan menerusi undang-undang dan bukannya menerusi perdebatan di media sosial.
Katanya, terdapat terlalu banyak khabar angin yang tersebar mengenai kematian remaja itu dan beliau tidak menjangkakan ia akan berhenti walaupun penjelasan sudah dibuat di Dewan Rakyat semalam.
“Walaupun saya bantu sedikit memberikan kenyataan menteri dalam Parlimen tapi itu bukan bermakna di luar sana hilang
fitnah dan berita palsu berhenti. Tidak tidak sama sekali.
“Dia (rakyat) akan terus memilih mana (fakta dan laporan) yang mereka mahu tegakkan. Nak cari kebenaran dan keadilan semua itu asas yang mempertemukan kita, tiada beza.
“Cuma kita nak tegak kebenaran dan tegak keadilan mesti berasaskan lunas undang-undang. Ia tidak boleh membandingkan kepada siapa cakap apa di luar dan menggunakan platform media sosial, itu tak boleh,” katanya sambil menambah, penerangan diberikan sukar mengubah stigma dalam kalangan masyarakat.
Saifuddin juga menyerahkan sepenuhnya siasatan dan pendakwaan kes itu kepada polis dan Pejabat Peguam Negara.
“Itu proses yang saya maksudkan bahawa polis bertindak mesti mengikut lunas undang-undang untuk tujuan mencari kebenaran dan keadilan,” katanya. – UTUSAN







