PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga lima petugas media Al Jazeera yang terkorban akibat serangan terancang tentera Israel di Bandar Gaza.
Beliau berkata, kesemua wartawan itu gugur ketika menjalankan tugas mulia menyampaikan kebenaran dan melaporkan keadaan sebenar di lapangan demi membuka mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Keberanian dan pengorbanan mereka menjadi bukti perjuangan menegakkan keadilan tidak akan pernah padam, walaupun nyawa menjadi taruhan,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Serangan tersebut mengorbankan Anas al-Sharif, Mohammed Qreiqeh, Ibrahim Zaher, Moamen Aliwa dan Mohammed Noufal.
Ahmad Zahid turut menegaskan, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam itu yang jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Malaysia akan terus bersuara di pentas dunia, memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin serta menuntut penghentian segera serangan terhadap wartawan dan petugas kemanusiaan.
“Semoga roh semua mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada,” ujarnya.