MELAKA: Perjalanan dua beradik untuk pulang ke rumah di Muar, Johor bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas motosikal ditunggang melanggar pokok tumbang di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kandang di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.04 pagi itu, mangsa, Muhammad Fauzy Borhan, 33, menunggang motosikal Yamaha NVX meninggal dunia di lokasi manakala adiknya, Muhammad Naim Borhan, 30, yang menunggang motosikal lain parah dan dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa dan adiknya dalam perjalanan dari Tampin, Negeri Sembilan menuju ke Sungai Abong, Muar.
“Setiba di lokasi, kedua-dua mangsa dipercayai tidak perasan terdapat pokok tumbang yang merintangi laluan mereka lalu melanggarnya sebelum tercampak ke depan.
“Akibat kemalangan itu si abang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala adiknya terselamat namun parah,” katanya.
Christopher berkata, kemalangan berlaku ketika cuaca hujan renyai dan pencahayaan kurang.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN









