KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti penggubalan Akta Keupayaan Mental bagi melindungi hak dan kebajikan golongan rentan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) mental serta individu yang mengalami kemerosotan kognitif seperti demensia dan alzheimer.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketiadaan undang-undang khusus ketika ini mewujudkan pelbagai cabaran dalam memastikan perancangan awal berkaitan hal peribadi, pengurusan penjagaan kesihatan, harta benda dan urusan undang-undang dapat dibuat sebelum seseorang hilang keupayaan mental.
Menurutnya, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri sedang menjalankan kajian menyeluruh termasuk meneliti amalan terbaik di peringkat antarabangsa seperti United Kingdom, Australia dan Singapura.
“BHEUU juga telah mengadakan sesi libat urus bagi meneliti Akta Keupayaan Mental 2008 di Singapura sebagai rujukan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH–Seputeh) mengenai status terkini usaha kerajaan memperkenalkan akta tersebut memandangkan populasi warga emas negara semakin meningkat.
Azalina berkata, kerangka perundangan itu perlu disesuaikan dengan sistem sivil dan syariah yang melibatkan isu hadhanah serta bidang kuasa negeri, selain memastikan ia tidak bercanggah dengan nilai dan budaya tempatan.
“Kerajaan komited memastikan akta yang bakal digubal berasaskan prinsip hak asasi manusia, kebebasan membuat keputusan serta perlindungan daripada eksploitasi atau penyalahgunaan kuasa.
“Proses ini memerlukan libat urus menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri, badan kehakiman, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan profesional, ahli akademik, keluarga dan penjaga individu terlibat,” katanya. – UTUSAN










