Wujudkan peruntukan khas pelihara maruah Jalur Gemilang

Wujudkan peruntukan khas pelihara maruah Jalur Gemilang

Sudah tiba masanya negara menggubal peruntukan khusus bagi memelihara maruah Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Negara perlu menggubal satu peruntukan khusus bagi memelihara maruah Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara.

Mencadangkan perkara itu, pakar Perlembagaan, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, walaupun bendera kebangsaan termasuk dalam takrifan lambang di bawah undang-undang sedia ada, peruntukan lebih terperinci perlu dimasukkan bagi memastikan tadbir urus dan kemuliaan lambang kenegaraan Malaysia lebih kukuh.

Menurut beliau, pindaan terakhir pada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) dilaksanakan pada 2016 telah meningkatkan hukuman denda sehingga RM20,000 dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan di bawah akta tersebut.

“Namun itu masih belum mencukupi, Kerajaan perlu memperhalusi lima tahap pelaksanaan, termasuk semakan menyeluruh peruntukan undang-undang.

“Sistem pendidikan negara yang menyentuh aspek pembinaan jati diri negara perlu dibina atas naratif yang betul, dan tidak boleh dipengaruhi oleh elemen berkepentingan politik kepartian.

“Tidak cukup dengan penekanan aspek teori, perlu ditambah baik dengan aspek amali,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Wan Ahmad Fauzi berkata, penguatkuasaan yang tegas tanpa kompromi, termasuk hukuman penjara mandatori bagi kesalahan berulang, juga perlu digubal.

Di samping itu, satu akta yang boleh menghukum mana-mana ahli perundangan, pentadbiran dan kehakiman yang melanggar sumpah di bawah Jadual Keenam juga perlu digubal agar anasir yang melanggar semangat dan prinsip sumpah kewarganegaraan di bawah Jadual Pertama Perlembagaan Persekutuan tidak dibawa masuk oleh mana-mana ahli cabang kuasa tersebut.

Katanya, cadangan menggubal Akta Suruhanjaya Kedaulatan Negara pernah dikemukakan bagi memantau polisi dan tindakan eksekutif, menjalankan kajian serta memberikan pendidikan kenegaraan secara holistik.

Langkah ini demi memelihara prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

“Walaupun hukuman lebih keras seperti melucutkan kewarganegaraan boleh dipertimbangkan, keutamaan wajar diberikan kepada pelaksanaan lima tahap tersebut terlebih dahulu.

“Ini bagi memastikan Jalur Gemilang terus dihormati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN