KUALA SELANGOR: Pengajaran atau pemberitahuan tentang cara pemasangan bendera Jalur Gemilang dengan betul tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara ini sudah pun mencapai kemerdekaan hampir 68 tahun.
Penceramah bebas, Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah berkata, pemasangan Jalur Gemilang sebagai lambang dan simbol kepada negara sepatutnya menjadi pengetahuan asas yang diketahui oleh rakyat Malaysia.
Menurutnya, tempoh 68 tahun itu adalah cukup lama untuk mengetahui dan memahami lambang dan simbol maruah negara, namun masih terdapat rakyat bermasalah memasang bendera secara terbalik.
“(Masih) perlu ajar cara pasang bendera lagi? Bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah negara. Kalau dalam perang, bendera adalah simbol yang diangkat sebagai lambang sama ada menang dalam peperangan atau tidak.
“Maknanya, isu bendera bukan kecil. Ia (benda) masalah besar. Saya tidak pernah jumpa lagi di negara lain, pemimpin pergi ajar rakyat cara pasang bendera,” katanya pada Forum Ayuh Bangkit Bangsaku anjuran Muafakat Nasional (MN) Selangor, malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya empat insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik berlaku pada sambutan bulan kemerdekaan dan menjelang Hari Kebangsaan pada tahun ini.
Insiden tersebut bermula di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson pada 1 Ogos lalu, diikuti dengan sebuah kilang dekat Batu Berendam, Melaka antara 17 dan 18 Ogos, kemudian situasi sama turut berlaku di Johor dan Pulau Pinang.
Perkara berkenaan kemudian menarik perhatian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang tampil menganjurkan perhimpunan di Bertam, Pulau Pinang bagi memberi mesej kesalahan memasang Jalur Gemilang secara terbalik tak boleh diterima.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Bertam, Pulau Pinang dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung isu Jalur Gemilang, baru-baru ini.
Ridhuan Tee berkata, Dr. Muhamad Akmal adalah pemimpin yang respon kepada masalah tersebut serta mengajak belia di negara ini melihat semangat patriotisme golongan muda di Indonesia.
“Jati diri orang Indonesia itu kencang. Dia tak main (cuai) pasang bendera terbalik dan sebagainya.
“Setiap tahun, anak muda Indonesia akan bersumpah sanggup hidup mati untuk negaranya. Sumpah ketua pemudanya iaitu kecintaan kepada bangsa Indonesia. Itu mereka angkat setiap tahun. Kecintaan kepada bangsa Indonesia,” ujarnya. – UTUSAN










