SHAH ALAM: Umat Islam diingatkan berwaspada dan tidak terjebak menyertai program motivasi berunsur metafizik dalam silibusnya yang tidak berasaskan ajaran Islam sahih.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Siti Razmah Idris berkata, sufisme Ahli Sunnah Wal Jamaah berteraskan al-Quran, sunnah dan turath ulama muktabar merupakan jalan sebenar memenuhi keperluan kerohanian umat Islam.
Menurutnya, bagaimanapun sebahagian program motivasi kini diserap dengan unsur luar yang rosak seperti fahaman Gerakan Era Baharu menerusi rawatan alternatif, pembangunan diri dan spiritual.
“Gerakan ini membawa unsur bercanggah dengan akidah Islam seperti pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama, penyelewengan wahyu dan syariat.
“Ia mudah menyerap dalam kursus pembangunan kendiri, seminar dan latihan minda yang seolah-olah neutral namun membawa ajaran terpesong dengan turut menyasarkan belia serta pelajar,” katanya pada ucapan perasmian Diskusi Isu Semasa: Pendedahan Gerakan Era Baharu Dalam Motivasi Islam, hari ini.
Siti Razmah berkata, motivasi merupakan proses penting dalam membimbing dan mengekalkan tingkah laku bagi mencapai sesuatu matlamat yang diingini.
“Justeru, tidak menjadi kesalahan kepada sesiapa untuk bergiat aktif dalam industri program motivasi sama ada penganjur, penceramah atau peserta.
“Namun ia perlu dilaksanakan selaras kehendak Islam yang bukan saja dorongan untuk mencapai kejayaan material atau prestasi terbaik namun mencari keredhaan Allah,” ujarnya.
Tambah beliau, motivasi dalam Islam tidak hanya bersumber dorongan untuk kejayaan duniawi malah mencapai keberkatan hidup di dunia dan akhirat. – UTUSAN










