Wanita Sri Lanka pelayan bar diserbu, 11 ditahan Imigresen

Wanita Sri Lanka pelayan bar diserbu, 11 ditahan Imigresen

ANTARA wanita warga asing pelayan bar ditahan dalam serbuan JIM di Petaling Jaya, Selangor. - GAMBAR JIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan licik sebuah pusat hiburan yang menggaji wanita warga asing sebagai pelayan untuk menghiburkan pelanggan terbongkar apabila premis itu digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas malam kelmarin.

Serbuan ke atas premis restoran dan bar yang terletak di kawasan tumpuan di Petaling Jaya itu dijalankan susulan aduan awam serta risikan selama seminggu oleh pasukan khas JIM membabitkan seramai 40 pegawai pelbagai pangkat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata ketika serbuan dilakukan, kesemua individu warga asing di premis berkenaan cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di tingkat atas bagi mengelak daripada ditahan.

“Seramai 20 individu diperiksa, terdiri daripada lapan warga tempatan dan 12 warga Sri Lanka.

“Hasil pemeriksaan, 11 individu ditahan, termasuk sembilan wanita warga Sri Lanka yang bekerja sebagai pelayan serta dua lelaki senegara mereka yang juga bekerja di premis terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, wanita warga Sri Lanka yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 33 tahun dan dipercayai telah bekerja hampir setahun di premis berkenaan dengan purata gaji sekitar RM2,000 sebulan.

“Berdasarkan pengakuan lisan, hampir semua pasport mereka telah dipegang oleh majikan sebelum dibenarkan bekerja. Premis ini pula dikenal pasti pernah beberapa kali diserbu pihak berkuasa namun masih degil meneruskan operasi,” katanya.

Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] kerana tiada dokumen perjalanan sah atau tinggal lebih masa.

Turut dikeluarkan Borang 29 (saman saksi) kepada pelanggan dan pekerja yang berada di dalam premis ketika operasi dijalankan.

Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut.

Zakaria berkata, siasatan awal turut dijalankan berpandukan kepada Garis Panduan Kebangsaan Petunjuk Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0 bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur eksploitasi atau pemerdagangan manusia.

“Namun hasil semakan mendapati tiada elemen eksploitasi dikesan dan tiada kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) direkodkan,” jelas beliau.

Zakaria menegaskan, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta ATIPSOM 2007 dan Akta Pasport 1966.

“Kita akan terus mempergiat operasi sebegini bagi membanteras kegiatan tidak bermoral yang mempergunakan wanita warga asing sebagai daya tarikan komersial,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN