JOHOR BAHRU: Seorang pesara berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM14,910 lesap apabila kad debit miliknya digunakan individu tidak dikenali sejak Jun lalu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ong, 59, berkata, dia telah membuat beberapa laporan polis berhubung perkara itu, selain turut mengadu kepada bank terlibat, namun tiada tindakan diambil.
Katanya, kejadian bermula pada 14 Jun lalu apabila dia menerima tiga pemberitahuan daripada bank memaklumkan berlaku transaksi melibatkan kad debitnya.
“Setiap transaksi melibatkan jumlah antara RM4,000 hingga RM5,000. Jumlah ketiga-tiga transaksi itu adalah RM14,910.
“Saya hairan kerana saya tidak gunakan kad debit pada masa itu. Saya juga tidak terima sebarang nombor pengesahan transaksi (OTP) melalui telefon bimbit untuk mengesahkan transaksi tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya di sini, hari ini.
Ong berkata, pihak bank memaklumkan tiada sebarang transaksi sedemikian yang berlaku.
“Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian saya terima mesej pesanan ringkas (SMS) daripadanya pihak bank memaklumkan transaksi kewangan itu telah selesai.
“Saya kemudian menyahaktif kad debit itu, selain membuat laporan polis di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 16 Jun lalu,” katanya.-UTUSAN










