KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kepentingan dalam program Jana Wibawa iaitu program yang dirangka untuk merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera serta merancakkan sektor pembinaan negara.
Menurut bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, kepentingan itu wujud apabila Ahli Parlimen Pagoh itu memberi saranan kepada Kementerian Kewangan untuk mengkaji program pembangunan Bumiputera itu.
“Secara tidak langsung Tan Sri Mahiaddin Yassin mempunyai kepentingan kepada Program Janawibawa kerana beliau yang memberi saranan kepada Kementerian Kewangan untuk mengkaji program pembangunan Bumiputera ini.
“Saya mengesahkan saya tidak mendapat apa-apa sebarang keuntungan peribadi dan ganjaran dalam bentuk kewangan semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin berkait dengan Program Janawibawa,” kata Tengku Zafrul.
Terdahulu Tengku Zafrul menyatakan, sekitar suku kedua tahun 2020, terdapat perbincangan bersama Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin untuk merangka suatu program untuk merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera dan merancakkan sektor pembinaan Negara di kala krisis pandemik Covid-19.
Jelasnya, Muhyiddin telah meminta pihak Kementerian Kewangan memikirkan kaedah dan prosedur yang sesuai bagi membantu kemelut kontraktor Bumiputera.
“Susulan itu, Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan (Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan) telah merangka dan mencadangkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Janawibawa) sebagai suatu landasan ke arah mencapai objektif yang telah dicadangkan oleh YAB PM (Muhyiddin).
“Program mirip seperti mana ini sebenarnya telah pun wujud semasa pentadbiran kerajaan terdahulu yang dinamakan Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang telah diwujudkan sejak tahun 1993 lagi.
“Namun saya dimaklumkan program ini telah dihentikan oleh kerajaan sebelum ini. Oleh itu, Kementerian Kewangan telah mencadangkan agar program seperti mana ini dihidupkan semula dengan prosedur serta syarat kelayakan yang lebih komprehensif,”katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika membaca penyata saksinya dalam perbicaraan kes Muhyiddin,79, yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan empat tuduhan salah guna kedudukan untuk suapan RM225.3 juta dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM200 juta.
Terdahulu, Tengku Zafrul memberitahu Program Jana Wibawa menggunakan dua kaedah perolehan di bawah Program Janawibawa ini dibuat secara Rundingan Terus dan Tender Pra Kelayakan.
“Kaedah perolehan secara rundingan terus adalah di mana agensi Kerajaan membuat pembelian atau kontrak dengan satu syarikat pembekal/kontraktor melalui proses rundingan secara langsung, tanpa proses tender terbuka. Kaedah perolehan secara rundingan terus adalah tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan dengan syarat/kelayakan yang tertentu.
“Tender pra kelayakan merupakan proses tender dimana syarikat-syarikat kontraktor yang berminat melaksanakan projek Kerajaan ditapis dahulu supaya hanya mereka yang mempunyai pengalaman, kebolehan teknikal, keupayaan kewangan dan pengurusan bagi melaksanakan sesuatu projek Kerajaan sahaja dibenarkan mengambil bahagian di dalam tender yang di seliakan oleh agensi Kerajaan yang berkenaan.
“Kaedah perolehan secara tender pra kelayakan adalah tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan dengan syarat atau kelayakan yang tertentu.
“Program Janawibawa telah memperkenalkan prosedur serta syarat kelayakan yang lebih komprehensif bagi pemilihan kontraktor bagi memastikan syarikat kontraktor yang dipilih adalah benar-benar layak daripada segi dokumentasi yang teratur serta mempunyai kemampuan kewangan dan teknikal yang kukuh.
“Ini adalah penting bagi memastikan kepentingan Kerajaan sentiasa terjaga dan projek Kerajaan tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dengan kos yang berpatutan. Dalam hal ini, Kementerian Kewangan merupakan pengurus dan pengawal selia Program Janawibawa dan ia diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pelbagai pakej rangsangan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan dalam menangani impak pandemik Covid-19,”katanya.-UTUSAN
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL










