Usul undi secara sulit hanya untuk jawatan Speaker, Timbalan

Usul undi secara sulit hanya untuk jawatan Speaker, Timbalan

RAMLI MOHD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu undi secara sulit di Dewan Rakyat hanya dibenarkan bagi pelantikan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, bukan untuk Perdana Menteri.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor berkata, ini kerana tiada sebarang peraturan khusus bagi mana-mana peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang membenarkan usul undi tidak percaya secara sulit dilakukan terhadap Perdana Menteri.

“Undi rahsia atau sulit hanya wujud dalam pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat seperti mana di peruntukan di dalam peraturan mesyuarat 3, 4 dan 6 Dewan Rakyat, iaitu membenar undi rahsia atau sulit dalam pelantikan Speaker dan Timbalan Timbalan Speaker Dewan Rakyat sahaja.

“Maka adalah jelas undi tidak percaya kepada Perdana Menteri hanya boleh dilakukan secara terbuka mengikut peraturan 27(3), 46 dan 47 sahaja.

“Pendapat ini adalah pendapat saya secara peribadi dalam mentafsir Peraturan Mesyuarat dewan rakyat Malaysia sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mencabar kerajaan menuntut usul undi tidak percaya diadakan secara sulit terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, tindakan tersebut wajar dilakukan bagi menjamin ketelusan sesuatu undi daripada ahli parlimen yang dikatakan mungkin ada tekanan atau sebaliknya daripada pihak tertentu.

Kata Ramli, perkara itu jelas termaktub dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dimana mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri hanya boleh ditentukan secara undi terbuka dalam dua bentuk undi iaitu melalui peraturan 46 (1) hingga 46(3) undi lebih suara.

“Satu lagi kaedah adalah usul Ahli Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 46(4) dan 47 iaitu undi belah-bahagian yang dikira secara terbuka di dalam dewan Rakyat, dimana mana jelas akan nampak siapa ahli parlimen menyokong dan tidak menyokong usul tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri boleh dibawa oleh mana mana ahli Parlimen mengikut peraturan mesyuarat 27(3).

“Jika usul undi tidak percaya ini dibawa oleh Ahli Parlimen pembangkang ia di panggil usul persendirian ahli Parlimen (pembangkang),” ujarnya.

Jelasnya lagi, analogi undi tidak percaya ini pernah berlaku dalam bentuk undi menyokong dan percaya kepada Perdana Menteri pada awal kerajaan Perpaduan Madani ini.

“Ia pernah berlaku pada 19 Disember 2022, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membawa usul melalui peraturan 27(3) ia itu menyokong dan percaya kepada Perdana Menteri, sebagai Perdana Menteri dan mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat mengikut peraturan 27(3) dan keputusan menyokong Perdana Menteri secara laluan peraturan mesyuarat dewan melalui peraturan 46 (1) hingga 46(3) undi lebih suara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN